Assalammualaikum, salam Ahad. Awal pagi tadi hujan di kampung che mat, rasa macam nak sambung tidur saja, tapi kerja dah menunggu pulak, kensel tidur. Hari ni che mat tak masak, dan Bak dan Bonda serta abang long che mat ke Kemaman untuk melihat cucu/cicit mereka. Malam tadi che mat dah masak sikit. Jadi hari ni dapur tutup dan makan apa yang che mat masak malam tadi. Menu simple saja, rebus ketupat NONA, lepas tu masak ayam, errr..resipi ayam ni pun main campak, senang kata ala2 ungkep, tapi guna ayam daging (biasanya ungkep guna ayam kampung, ayam hutan atau ayam pencen), tu saja. Ada pulak sambal goreng dan serunding daging (beli punya), maka jadilah hidangan hari ini lontong kering. Nampak macam hitam2 kat ketupat tu, che mat curahkan sedikit kicap cair. Untuk entri kali ni che mat kongsikan pada anda resipi ungkep ayam tu saja lah yea, tapi che mat taruk sedikit santan nak kasi rasa lemak, ia juga sesuai untuk bulan puasa dan hari raya nanti...resipi seperti berikut...
UNGKEP AYAM BERSANTAN....
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam daging (berat kurang lebih 1.3 kg)
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, dihiris
2 keping asam gelugor (kalau saiz besar, guna sekeping)
1 cawan santan
1 senduk nasi cili kisar
1 camca besar gula melaka
15 biji cili padi merah thai, belah 2 tapi tak putus
2 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan halus*
1 camca teh jintan kasar*
1 camca teh lada hitam*
Air secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, dihiris
4 biji buah keras, hiris
CARA MEMBUATNYA :-)
- Ayam dipotong ikut suka, cuci, toskan dan gaul dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata. Biarkan seketika (10 - 15 minit), kemudian cuci kembali hingga bersih, toskan. Bahan2 bertanda (*), disangai hingga harum, kemudian tumbuk hingga halus. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan serai yang diketuk dan cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut.
- Tuang santan dan masukkan 2 cawan air. Kacau rata, biar mendidih dan masukkan asam gelugor. Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Tambah garam secukup rasa dan gula melaka. Kacau rata.
- Akhir sekali masukkan cili padi dan daun kunyit. Kacau dan masak hingga kering, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, ketupat atau pun lemang.
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda suka, boleh juga gantikan ayam dengan daging, gunakan daging batang pinang untuk lebih cepat empuk, dan tak perlu masukkan air cukup guna santan sahaja. Selamat mencuba!...