Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Baru ada kesempatana nak buka laptop dan jenguh blog. Menu yang anda nampak ni che mat masak Khamis lepas. Bukan panas dari dapur, tapi dah 2 hari punya. Sejak2 ni masa agak terbatas dan masak pun yang biasa2 saja. Macam semalam, che mat cuma bikin ikan bilis goreng curah kicap (gambar dia ada di Instagrm che mat @matgebu ). Lemak turi kacang hijau che mat pernah masak sebelum ni, kiranya ini kali ke dua mencuba. Dan ia menjadi kegemaran bonda che mat sebenarnya. Gandingkan dengan sambal belacan, ikan masin atau ikan goreng dan top telur dadar. Kalau dulu guna udang kering sebagai perencah, kali ni tukar guna ikan bilis pulak. Yang mana satu sedap?...pada che mat dua2 pun sedap samada guna udang kering mau pun ikan bilis. Guna daun turi muda agar tidak liat dan kacang hijau lebih sedikit pun bess, rasa lemak. Kalau ingin mencuba, resipi seperti berikut...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak daun turi muda
3/4 cawan kacang hijau, cuci dan rebus hingga empuk
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 biji bawang besar hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu
CARA MEMBUATNYA :-)
- Asingkan daun turi dari tangkainya, cuci dan toskan. Masukkan santan cair ke dalam periuk bersama bawang besar hiris, bawang putih dan ikan bilis (toskan airnya). Kacau rata dan masak hingga mendidih, masukkan kiub ikan bilis (jika guna). Biar sekejap.
- Masukkan daun turi, kacau rata dan masak hingga daun turi lembut (tambah air jika perlu). Masukkan kacang hijau rebus dan tuang pati santan. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan, ikan goreng @ ikan masin dan telur dadar....Selamat mencuba!